Tuesday, February 8, 2011

USM ada akses 4G

UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) diiktiraf menjadi satu - satunya institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama dilengkapi akses 4G, sekali gus menyalurkan akses Internet kepada 20,000 pelajarnya.
Ia turut menjadi penyuntik semangat kepada institusi berkenaan untuk mengembangkan lagi wacana penggunaan teknologi maklumat di kalangan warga kampus, sekali gus mengembangkan proses pembudayaan ilmu berteknologi tinggi.

Naib Canselor USM, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, kemudahan itu dapat memakmurkan lagi cabang ilmu dan memberi kemudahan kepada mahasiswa untuk melayari Internet dalam proses pembelajaran.

Menurutnya, menerusi kemudahan itu, warga kampus bukan saja mampu mengakses maklumat dengan mudah, malah memberi peluang sama rata kepada semua memperoleh maklumat bagi mempertingkatkan lagi penjanaan ilmu.


“Kemudahan ini tidak bersifat eksklusif. Semua berpeluang memperoleh kemudahan sama untuk mencari apa saja maklumat diperlukan.

“Ia sejajar usaha untuk memperluaskan lagi proses pembudayaan serta penjanaan ilmu
di kalangan warga kampus.

“Malah, contoh terbaik kepada universiti dengan menerapkan nilai kesamarataan dalam pembangunannya, sekali gus meningkatkan lagi status USM sebagai universiti terunggul yang menjadikan wacana ilmu dan budaya kecemerlangan sebagai pemangkin utama,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif YTL Communications, Yasmeen Mahmood.

Kemudahan teknologi itu didatangkan bersama sistem suara dan berkeupayaan meliputi semua 240 hektar kawasan di USM. Kemudahan itu di bawah program rangka kerja Education Partner Program (EPP).

Yasmeen berkata, YTL Communications bangga kerana mampu menyediakan perkhidmatan 4G kepada USM dan memberi kemudahan kepada warga kampus membentuk perubahan positif kepada persekitaran akademik.

“Jalur lebar semakin penting bagi menyokong proses pembelajaran kerana mampu membina generasi masa depan lebih progresif.

“Bagi menjayakannya, warga kampus USM dibekalkan capaian sebanyak 300MB sebulan tanpa sebarang caj penggunaan selama tiga tahun.

“Ini sebagai sokongan kepada proses pengembangan teknologi maklumat dan konsep pembudayaan ilmu berkapasiti tinggi di kalangan mahasiswa supaya lebih selari.

“Bagaimanapun, perkhidmatan yang disediakan ini hanya meliputi kampus induk dan bercadang memperluaskan lagi jaringannya ke kampus USM yang lain pada masa akan datang. Kedua-dua pihak optimis mampu melakukannya,” katanya.

sumber mymetro

No comments:

Post a Comment