Saturday, February 26, 2011

Konsert 3 band rock



ARRENA Entertaiment dengan kerjasama Triple Trouble Entertaiment menganjurkan Konsert Triple Malaya yang menggabungkan tiga kumpulan rock terkenal tanah air, XPDC, Amuk dan May bertempat di Dataran Masyarakat Gemencheh, Negeri Sembilan, pada 5 Mac ini.
Pastinya kemunculan tiga kumpulan yang memperjuangkan irama muzik keras cukup dinantikan peminat. Penampilan vokalis bertopeng Bandi bersama Amuk yang turut dianggotai Metal Jawa (gitar), Din Taring (gitar) dan Budu Siam (dram) menarik perhatian. Selepas sekian lama menyepi kumpulan yang popular menerusi lagu rock keras antaranya Dalam Semak, Amuk dan Tsumawi bersedia menghiburkan peminatnya.

Vokal lantang penyanyi, Mus cukup sinonim dengan kumpulan May yang ditubuhkan sekitar 1980-an. Mempertaruhkan identiti muzik tersendiri membuatkan kumpulan berkenaan berjaya bertahan sehingga kini. Persembahan mantap melayakkan mereka dinobatkan antara kumpulan legenda rock popular tempatan. Kumpulan itu diperkuatkan dengan kehadiran Man (dram), Abu (gitar) dan Yus (bass). XPDC yang mendapat gelaran band 'fun fair' dianggotai Mael (vokal), Izo (gitar), Zua (bass) dan Amy (dram) bersandar kepada kekuatan lagu popular berentak metal seperti C.I.N.T.A, Tak Nak Jadi Soh Chai, Apa Nak Dikata dan C.T. Cinta Kenangan Silam. Kali terakhir XPDC tampil bersama album Rasopariso yang berada di pasaran pada November 2009.
Pengurus kumpulan, Yazid XPDC berkata kumpulan itu bersedia menghiburkan peminat menerusi 12 lagu di petik dari album lama dan baru untuk persembahan selama lebih satu jam itu. Buat masa ini, kumpulan itu cukup aktif menjayakan persembahan di seluruh negara.

"Ini kali pertama kami bergabung dalam satu persembahan besar. Saya percaya gandingan ini cukup sesuai memandangkan setiap daripada kami menampilkan muzik keras. Begitupun masing-masing mempunyai kelompok peminat tersendiri.

"Dari segi persediaan sememangnya setiap kumpulan menjanjikan persembahan terbaik. Bagi XPDC sendiri kami mengadakan latihan hampir setiap hujung minggu memandangkan kerap menerima jemputan menjayakan persembahan. Secara tidak langsung ia memberi ruang kepada kami untuk berlatih menyanyi lagu yang akan disampaikan selain berinteraksi bersama peminat.


"Kemungkinan besar juga kami akan membuat satu persembahan khas. Mungkin membabitkan gabungan tiga kumpulan, bertukar-tukar lagu atau menyanyi secara medley. Semuanya masih dalam perbincangan. Kita tunggu saja nanti kejutan pada malam konsert nanti," katanya.

Walaupun tanpa sokongan penaja penganjur yakin populariti dan kredibiliti kumpulan itu mampu menarik lebih 5,000 peminat. Serentak dengan konsert itu, beberapa acara dan program menarik turut dianjurkan pada Karnival Triple Malaya tiga hari sebelum konsert bermula. Penganjur turut menyediakan kaunter untuk peminat mendapatkan tiket menyaksikan konsert pada karnival itu.


Tiket berharga RM50 seorang sudah mula dijual menerusi wakil pengedar yang dilantik di seluruh semenanjung tanah air. Mereka yang ingin mendapat tiket serta maklumat lanjut konsert sila hubungi 017-3634454 atau 012-3800014.

No comments:

Post a Comment